26.8.08

Wild Wild Wet hanya $4!

Dicatat oleh melayudilondon |



Anak kecil saya minat sangat pergi Wild Wild Wet di Downtown East. Kalau dapat tiket percuma, memang berbaloi. Kalau tak dapat percuma, dapat tiket diskaun pun dah kira OK lah.

Pada bulan Ogos, sempena hari jadi WWW, tiket masuk hanyalah $4 seorang! Geram betul bila dapat tahu tentang diskaun ni hampir-hampir akhir bulan Ogos.

3.8.08

Derma untuk Ramadan

Dicatat oleh melayudilondon |



Islamic Relief Malaysia sedang menganjur program "Feed the Fasting" sempena Ramadan. Dengan hanya menderma RM50, anda boleh membiaya makanan sekeluarga selama 2 minggu.

RM50.... bersamaan SGD 21 +, sama macam makan aiskrim kat Swensens
skip saja session makan aiskrim kat Swensens dan derma lah duit anda
duit anda boleh membeli beri, barangan tin dan minyak untuk makanan sekeluarga sempena Ramadan.

28.7.08

Kupon NDP 08 untuk semua!

Dicatat oleh melayudilondon |

Saya terserempak kupon-kupon diskaun lumayan sempena NDP 2008 pada laman contestjunkie Sila klik gambar di bawah, print atau cetak dan anda boleh menggunakannya. Kalau nak 100% pasti, telefon dulu dan tanya adakah mereka menerima kupon tersebut. Mana tahu kalau mereka tukar polisi!









Potongan 50% pada harga masuk untuk 5 orang di Night Safari.









Potongan 30% pada harga masuk untuk 5 orang di Jurong Bird Park









Potongan harga untuk aiskrim dan kek Gelare

24.7.08

Tipss 5 : Menangani Kos Anak-anak

Dicatat oleh melayudilondon |



Antara kenaikan kos yang mungkin memeningkan ibu-bapa adalah kos membesarkan anak. Apatah lagi untuk membesarkan bayi! Mengira belanja lampin, susu formula, ubat doctor, baju dan segala peralatan bayi saja sudah cukup membuat ibu-bapa berpeluh.


Dulu para pasangan boleh ada 5-7 anak dengan hanya satu pendapatan. Sekarang dengan dua pendapatan pun, rata-rata hanya 2-3 anak sekeluarga. Memang mahal jikalau hendak memberi zaman kanak-kanak (childhood) yang berkualiti. Banyak tips yang boleh dipraktiskan untuk meringankan beban ini.


Tipss 5 – Bayi dan Anak-Anak



Siapa tak teruja nak menerima orang baru? Kalau nak ikutkan hati, hendak saja beli bermacam-macam peralatan yang baru. Terutama sekali untuk anak pertama. Saya juga begitu. Banyak benda dibeli yang mungkin tidak perlu. Bila nak menerima anak kedua, baru lah kami lebih berpengalaman dan tahu untuk membeli apa yang perlu.


* Buat kajian secara terperinci dan tulis senarai peralatan yang diperlukan. Bagi kan kepada dua seranai – yang perlu dan yang tidak penting (nice to have but not important)

* Dari senarai tersebut, lihat yang mana boleh dipinjam atau diterima terpakai dari sahabat-handai ataupun keluarga terdekat. Sering kali, peralatan bayi hanya dipakai untuk masa yang singkat. Masih baik lagi. Saya dan adik saya telah menukar-pinjam peralatan seperti steriliser, baby carseat, buku-buku dan permainan bayi beberapa kali di antara kita.

*Selain dari teman-teman terdekat, cuba tinjau laman forum ibu-bapa. Ada ahli-ahli yang menjual peralatan terpakai dengan harga murah. Juga tinjau laman freecycle.sg di mana ahlinya menawarkan barangan dengan percuma.


*Jikalau ada lagi peralatan perlu yang belum anda dapati, baik juga anda membuat senarai Wish List. Bisik-bisik kepada rakan terdekat yang mungkin ingin memberi hadiah sempena kelahiran bayi anda. Mungkin mereka boleh mengambung pemberian untuk membeli alat-alat yang lebih mahal. Tak payah hantar bunga! Bunga tak boleh makan!

*Pada saya, yang amat penting adalah sorong kereta bayi (baby stroller) yang bersesuaian. Tanya teman-teman jenama mana yang paling lasak. Tidak payah membeli sorong kereta yang terlalu canggih – cukup jika belakang kereta boleh dibaringkan untuk bayi kecil, mempunyai pelindung matahari, boleh ditutup dengan mudah dan ringan.

*Tidak payah keluarkan duit untuk membeli permainan yang terkini. Cukup jika benda-benda tersebut di sewa. Sekarang, banyak khidmat sewa mainan di Singapure seperti Rent-A-Toy, Rent That Toy, Toy Rental Club dan Babytown.sg yang menyewa keperluan bayi dengan harga berpatutan.

*Jika anda ada ramai kenalan yang mempunyai anak kecil, cuba usahakan penukaran mainan atau buku-buku di antara kanak-kanak. Sediakan satu kotak kecil yang di-isi permainan yang sesuai dan tukarkan dengan keluarga lain. Jika anak anda sudah besar sedikit, libatkannya dalam memilih mainan yang hendak diberi. Ini akan menggalakkan tabiat berkongsi.

*Tinjau apa-apa jualan borong untuk alat permainan. Baru-baru ini, ada jualan borong di gudang Mattel dan sekarang, Takashimaya sedang menganjur jualan permainan besar-besaran 12th Craziest Toy Sale dari 17 July sehingga 3 August.

*Tinjau kedai-kedai baju di estet-estet perumahan serta kedai-kedai seperti Factory Outlet Store. Sudah tentu ada sebuah-dua kedai yang menjual seconds dari jenama terkemuka dengan harga yang lebih murah.

Banyak lagi petua-petua jimat duit. Hanya perlu fikirkan sejenak dan secara kreatif.

23.7.08

Tipss 4 : Wayang percuma di Muzium!

Dicatat oleh melayudilondon |

Saya amat teruja dengan pembaharuan pada Muzium Negara kita. Bukan saja ubah-suai dan pamerannya terkini, ia juga menjalankan aktiviti-aktiviti menarik yang sesuai untuk seluruh keluarga.

Baru-baru ini, kami telah menghadiri tayangan Bujang Lapuk dibawah siri “Under the Banyan Tree”. Nostalgik and romantik sungguh! Seperti tayangan wayang pada masa dulu. Cuma tak ada mamak jual kacang puteh saja.

Skrin besar didirikan betul-betul bawah pokok beringin di luar muzium. Ramai yang datang, duduk di atas tikar sambil menikmati filem komedi tersebut. Mungkin kerana cerita melayu, ramai betul keluarga Melayu beberapa generasi hadir, siap membawa juadah untuk dimakan bersama. Tak kurang juga pasangan-pasangan muda. Apa kan tidak? Begitu romantis duduk di atas rumput, di bawah sinaran bulan dan bintang, dengan bangunan muzium tersergam indah.

Pada saya, amat seronok menonton cerita komedi kegemaran saya. Kalau nak kata kelakar tu, memang kelakar. Apa yang saya seronokkan adalah hampir semua yang menonton filem tersebut tahu bila dan di mana jenaka atau punchline akan muncul. Belum muncul saja, dah ketawa terbahak-bahak.

Under the Banyan Tree di langsungkan pada hujung bulan dan adalah percuma. Kalau tak bawa tikar pun tak apa. Tikar plastik cukup untuk dua orang dijual dengan harga $1. Filem-filemnya bukan filem blockbuster terbaru tetapi filem-filem klassik yang sesuai untuk semua. Jadi kalau anda sedang mencari aktiviti keluarga menarik untuk hujung bulan (sementara menunggu gaji masuk *batuk kecil*), sila lah ke Muzium Negara.

Pada hujung minggu ini, ada tayangan Hairspray (2007,John Travolta, Michelle Pfeiffer) pada 25 July dan filem Willy Wonka (1971, Gene Wilder). Kebetulan juga, Pesta Malam (Night Festival) akan dijalankan serentak. Ada pasar malam dan muzium akan dibuka percuma sehingga 2 pagi!

21.7.08

Pindah-pindah Wang

Dicatat oleh melayudilondon |

Baru-baru ini, saya menerima surat tawaran kredit dari Courts. Kami telah membeli TV tidak beberapa lama dahulu, menggunakan kad kredit. Courts menawarkan promosi Easy Access mereka; di mana kita boleh memindah jumlah tersebut kepada skim ansuran mereka.

Mengikut risalah yang kami terima, kadar ansuran adalah 0%! Dan mereka akan memberi kepada kami seluruh jumlah harga TV tersebut, sebagai pendahuluan untuk melunaskan kredit dengan syarikat kad kredit kami.

Wah! Nampak macam tawaran lumayan! Macam menarik!

Tapi bila kami belek fine print di bawah. .. Hah! Semua terburai! Kadar 0% adalah untuk kadar untuk 6 bulan sahaja. Selepas bulan ke-enam, kadar naik ke 19.9%. Hutang kredit ni mesti jalan selama 36 bulan (3 tahun). Tidak boleh dilunaskan sebelum itu.

Bayangkan kalau kami mengambil tawaran ini. Baik-baik hutang boleh langsai dalam 6 bulan, akan meleret sampai 3 tahun! Itulah yang mereka mahu . Tanpa banyak usaha, mereka dapat mengaut untung lumayan dari pendapatan bunga hutang tersebut.

Kalau tengah sesak ni, memang senang terpedaya dengan macam-macam tawaran. Nak pinjam wang dengan bank makin senang sekarang. Kalau tak usul periksa dengan teliti, senang sangat terjebak.

Bukan kita tidak boleh ambil tawaran tu. Apa yang saya sarankan adalah untuk meneliti fine print dengan baik. Bukan hanya kita harus mengimbangkan tawaran dari segi kadar APR setahun, kita juga harus selidik apa-apa kos lain seperti yuran pemindahan yang di caj dan juga bayaran penalti jika hutang dilunas dengan cepat.

Kita juga harus peka dengan keupayaan diri dalam melangsaikan hutang. Jikalau kita memang berdisiplin dalam pembayaran bulanan, mungkin ada lebih baik kita mengambil tawaran yang memberi APR rendah dalam jangka masa pendek. Tak boleh tipu diri sendiri, ya? Kalau tak, nampaknya meleret lah hutang tu. Bagai gali lubang untuk menimbus lubang lain! :)

18.7.08

Tipss 3 : Aktiviti Keluarga Selamat Saku

Dicatat oleh melayudilondon |

Setiap hujung minggu, saya pening kepala merancang aktiviti keluarga yang bersesuaian. Bukannya tak ada aktiviti kanak-kanak yang menawan. Tetapi memikirkan ongkosnya... aduh mak, terduduk mak!

Bayangkan kalau 4 orang anggota keluarga pergi ke Taman Burung atau Taman Haiwan. Kos tiket, tambang teksi dan makan minum akan mencecah lebih seratus dolar! Kalau nak berlegar-legar di pusat membeli-belah, hai... amatlah bosan! Lagipun ramai orang. Jadi saya amat teruja jika terserempak aktiviti-aktiviti menarik yang tidak menelan belanja yang banyak.

Tipss 3A : Mengunjung Balai Bomba


Tip ini saya dapati dari
blog Milly yang menyarankan kunjungan ke balai bomba. Rupa-rupanya setiap hari Sabtu, di antara pukul 9 - 11 pagi, balai-balai bomba di serata Singapura mengadakan rumah terbuka. Para pengunjung boleh masuk dengan percuma dan melihat kereta bomba dan belajar tentang khidmat bomba dengan lebih dekat.

Milly menyarankan balai bomba Hill Street sebagai tempat kunjungan. Bukan hanya ianya balai bomba tertua di Singapura, reka bentuk bangunannya amat unik. Selepas kunjungan tersebut, boleh lah terus ke Galeri Civil Defence yang bersebelahan. Masuk dengan percuma dan anda boleh melihat peralatan serta kenderaan bomba yang antik, sambil menambah ilmu pengetahuan tentang sejarah perkhidmatan bomba di Singapura. Anda juga berpeluang menaiki menara serta memanjat tangga bomba. Jadi kalau anda ingin pergi, pastikan anda memakai seluar panjang!


Tipss 3B : Pergi ke Muzium Mainan

Singapura ada bukan satu, ataupun dua, tapi tiga buah Muzium Permainan. Untuk mak bapak, boleh lah rasa nostalgik melihat permainan-permainan lama. Untuk kanak-kanak yang sudah tentu lebih biasa dengan Playstation dan Xbox, mungkin akan merasa hairan melihat permainan yang tidak payah dicucuk ke socket elektrik. Tiga buah muzium tersebut adalah :

Muzium MINT

Sebuah muzium yang terletak bertentangan Raffles Hotel. Bayaran masuk agak mahal ($15 dewasa, $7.50 kanak-kanak). Tetapi exhibit yang ditayangkan amat comprehensive. Anda boleh melihat contoh-contoh permainan dari lebih kurang 25 buah negeri. Alat permainan yang paling tua adalah dari tahun 1840 (lebih tua dari Singapura moden!) dan anda juga dapat melihat permainan-permainan unik yang harganya mencecah ribuan dolar.

Muzium Permainan Shanghai

Sebuah muzium yang didedikasikan kepada permainan-permainan yang dihasilkan di Shanghai. Laman web muzium ini amat menarik. Bayaran masuk adalah $8 dewasa, $5 kanak-kanak. Promosi untuk pemegang kad POSB, DBS, OUB dan OCBC - $5 dewasa, $3 kanak-kanak





















Muzium Kanak-Kanak (Children Little Museum)

Inilah muzium yang paling seronok! Ianya terletak di Kandahar Street (berdekatan Kampung Gelam) dan diuruskan oleh 2 orang sahabat. Hanya dibuka pada waktu tengahari, selepas waktu kerja dan pada hujung minggu.

Tempatnya kecil tapi penuh sarat dengan pelbagai barang-barang lama yang tentu akan menusuk jiwa. Ada bola tiup, chap teh, kuti-kuti, mesin ais kacang lama dan macam-macam lagi. Dinding muzium tersebut dipenuhi dengan gambar-gambar hitam putih lama yang mengilustrasi kehidupan di Singapura pada zaman 50-60an.

Bayaran masuk hanyalah $2! Saya amat terharu ada dua orang yang amat peka pada kepentingan menyelamatkan khazanah dan sejarah lama. Marilah kita sokong niat murni ini.



Banyak sangat permainan! Tak tahu mana nak tengok! Siapa boleh nampak bola tiup, buah kanna dalam balang dan permainan plastik buat bayi?

Gerai minuman dan ais kacang atau ice ball. Dulu hanya 5 sen kebawah dah boleh dapat snek yang sejuk dan lazat. Tak payah makan ais krim berjenama mahal!

Subscribe